Thursday, 3 September 2020

Selamat Ulangtahun yg ke 22 Anwar Ibrahim...


22 tahun yang lalu ketika berumur 17 tahun aku antara yg ada dalam ramai-ramai dalam gambar tu. 2 September adalah pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri..

Bergerak dari masjid Negara ke dataran merdeka...
Di dataran merdeka sepatutnya ada event tapi cancel di sebabkan ribuan berkumpul di Dataran Merdeka...
Anwar berada di tengah-tengah lautan manusia di Dataran Merdeka menjerit reformasi empat penjuru dan di sambut oleh ribuan hadirin,
Malam tersebut dapat berita anwar telah ditangkap di rumahnya di Bukit Damansara...

Maka selepas dari itu setiap sabtu petang akan ada himpunan reformasi di depan sogo hingga ke depan kamdar sambung ke dataran merdeka...
Waktu inilah bapa aku terima beberapa keping gambar yang bapa aku sedang menyertai himpunan reformasi dari Ketua SB Bukit Aman waktu itu Dato Fuzi Haron (juga bekas KPN) juga merupakan kawan bapa aku. (Ada perbualan panjang melalui telefon antara bapa aku dengan Dato Fuzi berkenaan Anwar)...

Berbalik pada kisah himpunan reformasi ni masih segar di ingatan selepas berhimpun di jalan TAR ramai-ramai ke Masjid Negara untuk solat maghrib. 
Selepas solat maghrib kumpulan himpunan bergerak ke Istana Negara. Tetapi pasukan FRU telah membuat benteng menghalang untuk terus ke Istana Negara.
Kumpulan himpunan patah balik bergerak ke Dataran Merdeka. Sampai di Dataran Merdeka pasukan FRU telah siap sedia membuat benteng menutup jalan ke Dataran Merdeka. Maka kumpulan himpunan menghala ke jalan leboh pasar besar. Selepas sahaja melintasi depan bank pertanian (sekarang agrobank) terdengar jeritan dari belakang rupanya FRU telah mula membuat tangkapan. Maka bertempiaranlah  kumpulan himpunan antaranya pakcik-pakcik, makcik-makcik, kakak student tudung labuh dan termasuk juga aku beserta sahabat sekolah aku. Sempat juga menoleh ke belakang melihat mereka yang telah ditangkap. Aku lari sampai ke jalan medan pasar dan ternampak restoran mamak Kalau tak silap restoran hameedia. Aku sempat masuk dalam restoran tu dan pekerja mamak terus tarik roller shutter tutup separuh. Dari dalam aku hanya nampak kasut but anggota Fru. Terdengar juga jeritan-jeritan. Mungkin juga sedang dibelasah Fru.
Ada juga himpunan-himpunan lepas dari itu yang diadakan di tempat lain seperti di Traffic Light masjid Kg Baru. Waktu tu lah ada tembakan pistol oleh SB bila terkantoi dengan para himpunan...

Himpunan reformasi tidak terhenti di situ. Tiap-tiap hari dari hari Isnin hingga Khamis balik dari sekolah (sekolah aku di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur) aku akan ke Masjid Jamek untuk mendengar kuliah zohor serta solat zohor dan terus bertahan sampai ke petang menunggu anwar keluar dari mahkamah. Kami berkumpul di benteng sungai dalam masjid Jamek sementara menunggu anwar di mahkamah seberang sungai. Waktu tu kalau korang tengok berita tv pastinya akan tunjuk reaksi anwar keluar mahkamah memanjat kereta sambil melambai. Lambaian itu adalah pada kumpulan reformasi  seberang sungai di masjid Jamek la tu....

Waktu-waktu reformasi ni ada beberapa watak yang masih dalam ingatan antaranya marina yusof, rahim ghouse, Chandra muzafar, raja komando, ezam md nor, lokman nor adam, roslan kasim, tian chua, nora dll. 
Kalau dalam perbicaraan mahkamah kes anwar pula watak-watak hakim Augustine Paul (not relevant), azizan, munawar anees, shamsidar, chritoper fernandez, zainur zakaria, zulkifli nordin, Sulaiman Abdullah, Raja Aziz Idrus...

Sumber berita waktu ni adalah Surat khabar Harakah, Surat khabar eksklusif, kertas-kertas photostate. Kaset-kaset ceramah reformasi boleh didapati di pintu masuk masjid Jamek sebab ada orang yg jual. Sebaran info ceramah melalui kertas-kertas kecil. Time ni internet belum belum menjadi medium utama untuk sebaran maklumat. Time ni chat chat mirc ramai lah. Hahaha...

Dalam kes reformasi ni ada menatijahkan beberapa perkara negatif kepada hubungan keluarga dan hubungan persahabatan. Teringat suatu petang sedang bapa aku bersembang dengan arwah Abang dia (pakcik aku) yang merupakan seorang pegawai polis di Bukit Aman pada waktu itu. Arwah pakcik memang baik dengan Rahim Nor Ketua Polis ketika itu yang dikatakan punca mata lebam anwar. Sembang-sembang biasa bertukar menjadi pertikaman lidah sebab kan anwar ibrahim ni. Agak dahsyat juga keadaan petang tu. Cuma aku teringat ayat arwah pakcik aku iaitu "satu hari nanti kau akan tahu Siapa anwar ni". Takpe lah siapa anwar sekarang ni dah tak penting sebab sekarang kami bukan lg penyokong anwar lagi. Alhamdulillah kami kekal istiqamah dengan perjuangan ulama iaitu perjuangan Parti Islam Semalaysia (PAS)..

Inilah serba sedikit pengalaman aku dengan gerakan reformasi tahun 1998.....

No comments:

Post a Comment